Saturday, June 26, 2010

Hari pertama di SMSLD


Pagi ini aku rasakan cukup dingin. Walaupun mata belum cukup rehat, aku gagahkan juga untuk membukanya. Kalau ikutkan sejuk di luar, mahu juga kusambung tidurku. Tapi malulah, dahlah aku ni 'orang baru', dengan rakan-rakan serumahpun baru berkenal nama. Takkan nak berlengkar terus di atas katil. Akhirnya aku bangun juga dan melihat pemandangan di luar tingkap. Sukar untuk kugambarkan dengan kata-kata. Sesungguhnya keindahan ciptaan Tuhan memang tiada tandingannya. Aku yang datang dari Kuala Lumpur, menghabiskan masa remajaku di bandar-bandar besar sehinggalah di tengah kota metropolitan Tokyo, kini dikelilingi dengan pemandangan alam yang cukup berbeza. Tiada lagi bangunan-bangunan pencakar langit, hanya pepohonan menghijau memagari lingkaran penglihatan. Tiada lagi hiruk pikuk kenderaan di pagi hari, hanya bunyi unggas yang ditemani kabus pagi. Cukup mendamaikan. Suara jeritan pelajar di padang mengejutkan aku dari terus mengelamun.
Hari ini, Sabtu (15 April) aku tidak tahu apa yang harus kulakukan. Belum ada apa-apa perancangan. Mungkin sehari dua ini aku bercadang untuk mengemaskan bilikku, membeli keperluan, mengenali masyarakat di flat dan melihat-lihat kawasan sekolah sebelum mula bertugas secara rasmi pada hari Isnin nanti.

Aku hanya mengenali beberapa orang sahaja guru-guru yang bertugas di sini. Kebanyakannya datang dari semenanjung. Jadi tidaklah aku terasa begitu terasing. Mereka pula mesra dan mudah untukku bergaul. Nama-nama seperti Cikgu Sahnizam, Ustaz Saw, Ustaz Fauzi, Wak, Jemey dan beberapa orang lagi antara mereka yang mula-mula aku kenali. Pelbagai nasihat dan panduan yang aku dengar daripada mereka. Kebanyakannya kaki bola dan asalkan petang memang itulah aktiviti mereka di padang (main bola). Petang itu aku ikut serta bermain. Aku ni bukanlah kaki bola (bolehlah setakat untuk mengeluarkan peluh). Bercerita pasal aktiviti petang ni, aku masih dapat membayangkan keadaan padang sekolah waktu itu. Dari segi keluasan, rasanya boleh dibuat 3-4 padang bola, tetapi hakikatnya hanya keluasan separuh padang sahaja yang boleh digunakan. Maksudku rumputnya pendek dan tanahnya kering. Selebihnya hanya semak samun (lalang gajah kot..hampir setinggi orang) dan berair. Kalau dari flat, perlulah meredah rumput/lalang yang tinggi-tinggi tersebut. Boleh nampak laluan-laluan orang di situ. (Sayang aku tak ada gambarnya).

Bab padang satu hal, lepas bermain petang itu aku rasa cukup dahaga. Balik ke flat aku terus minum air dari paip. Apabila malam menjelang aku mula rasa tak sedap badan. Perutku memulas-mulas kesakitan. Kira-kira jam satu pagi aku dah tak boleh tahan. Bila sampai ke tandas aku dapati air tiada!!! Mahu tidak mahu aku turun ke bawah. Mengetuk tangki-tangki air di bawah. Mujurlah ada tangki yang berisi air. Lepaslah untuk malam itu. (Pada rakan-rakan yang empunya tangki, minta maaflah kerana terpaksa 'cilok' air dari tangki mereka). Kesimpulan yang aku dapat ialah aku tak boleh minum air dari paip begitu sahaja.

Memang benarlah hujan yang turun merupakan satu rahmat kepada penghuni di flat kerana dengan adanya hujan, maka akan penuhlah tangki air masing-masing. Mana yang rajin, akan memenuhkan baldi atau besen masing-masing. Selain hujan, sumber air datangnya dari bekalan air yang dihantar 2-3 kali seminggu oleh Jumadi atau Wak Daud. Kalau mereka lambat hantar air, ramailah yang mengeluh dan adalah yang bising. Cerita air ni ada yang lucu dan tak kurang juga yang sensitif. Ada kes curi air, kes bekalan air ke tangki tak sama rata, sampai ada yang bergaduh bab-bab air ni. Hehehe..tentunya bila rakan-rakan yang melalui "zaman perit" ini tersenyum bila mengenangkannya semula kan?

Oppss..sepatutnya aku cerita kisah hari pertamaku di sekolah. Ni dah meleret ke cerita bab air pulak.(sebab isu air ni memang cukup sensitif). Okla..aku sambung balik cerita hari pertama aku di SMSLD.

Lahad Datu- 17 April 2000 (Isnin), aku memulakan hari pertamaku sebagai guru di SMSLD. Setiap Isnin akan diadakan perhimpunan rasmi di Dewan Seri Bayu, dan pagi itu dengan hati yang berdebar-debar aku turut sama mengikuti perhimpunan tersebut. Sebelum itu aku sempat berjumpa dengan Pengetua (Tuan Bali Haji Yussof) terlebih dahulu. Dalam perhimpunan tersebut, aku diperkenalkan kepada warga SMSLD. Gemuruh juga rasanya bila semua mata melihat kepada aku. Mujurlah pengalaman sebagai guru sebelum ini banyak membantuku. Aku rasa murid-murid begitu teruja (tak taulah kalau aku yang perasan...hehe) apabila diberitahu yang aku akan mengajar mata pelajaran Bahasa Jepun. Tambah pula bila aku memperkenalkan diriku dalam Bahasa Jepun (atas permintaan pengetua).

Perhimpunan pada pagi itu agak mengejutkan aku yang baru ini, apabila melihat (buat pertama kalinya) pengetua mengamuk. Beberapa orang murid dirotan dalam perhimpunan tersebut kerana kes rokok. Kasihanpun ada bila melihat murid-murid yang terlibat dirotan oleh pengetua (mmm...boleh tahan juga ganasnya pengetua aku ni). Dalam keadaan yang panas tu, ada juga lucunya bila ada dikalangan murid-murid tersebut "kedapatan" apabila meletakkan kertas tebal dalam seluar. Yang aku pasti, masing-masing merasa rotan yang dikenakan oleh pengetua. Masih terbayang aku muka masing-masing selepas dirotan.(Tak perlulah untukku sebutkan nama mereka yang terlibat tu..aku yakin mereka pasti ingat peristiwa tersebut).

Selepas perhimpunan, aku dibawa ke pejabat, pejabat guru dan kawasan sekolah. Aku diperkenalkan dengan kakitangan dan guru-guru. Nama-nama seperti Cikgu Shahru (PK), Cikgu Suhaimi (PK HEM), Ustaz Amir Berau, Cikgu Aziz, Cikgu Mukharita, Cikgu Wan Zamri, Cikgu Anuar dan ramai lagi (tak dapat nakku senaraikan satu persatu) antara mereka yang aku temui di hari pertamaku di SMSLD. Aku juga mula mengenali selok-belok bangunan dan kelas-kelas yang terdapat di sekolah ini. Aku dapati bilangan murid di sekolah ini tidak begitu ramai. Anggaranku antara 200-250 orang sahaja. Mulanya aku agak hairan juga kerana padaku bilangan kelas dan kawasan sekolah yang besar mampu menampung bilangan yang lebih besar. Namun persoalan tersebut terjawab juga. Masalah air merupakan punca utama kenapa ramai murid yang keluar dari sekolah. Melihat dugaan murid-murid pada waktu itu cukup menyedarkan aku betapa mahalnya ilmu yang ingin mereka perolehi di SMSLD ini. (Akan kuceritakan juga nanti bagaimana dugaan dan cabaran yang dilalui oleh murid-murid di sini).

Pada minggu pertama dan kedua aku tidak mengajar mana-mana kelas kerana kelas Bahasa Jepun belum diwujudkan. Aku lebih banyak menghabiskan masaku memasuki kelas-kelas yang tiada guru (sebagai guru ganti), mengenali murid-murid di sekolah ini. Aku juga mengajar kelas non-Muslim tingatan dua (betulke ya? yang pasti murid-murid di kelas tersebut antaranya adalah seperti Asha, Veronica dll). Setelah kelas Bahasa Jepun diwujudkan, bermulalah tugasku sebagai guru Bahasa Jepun, bermulalah panggilanku sebagai "sensei" di kelas tingkatan satu (Satu Delima).
Murid-murid 1 Delima? Akan kusambung di lain kali....

Salam

No comments:

Post a Comment