Friday, June 25, 2010

Apa nak ditulis ya?


Salam buat semua...
Sebenarnya senseipun tak tahu apa nak dituliskan dalam blog ini. Ada beberapa sebab kenapa? Pertama, sensei sendiri tak begitu cekap nak buat blog ni. Baru peringkat nak 'berkenalan'. Kalau ikutkan dalam blog ni nak berkongsi cerita, pengalaman suka duka selama berada di SM Sains Lahad Datu, Sabah. Itulah sebabnya blog ni diberi tajuk sedemikian. Kedua, disebabkan tempoh yang lama (hampir 10 tahun) berhijrah dan menetap di LD, tentunya terlalu banyak yang telah dilalui. Jadi di mana nak mula, nak mengingatkan semua perkara agak sukar. Namun yang pasti tentulah apa yang dilalui itu ingin dikongsikan bersama. Harapan sensei tempoh cuti yang masih berbaki 3 bulan ini, dapat memberi ruang untuk sensei bercerita....(harap haraplah)

Ok...

Mungkin ada baiknya sensei mulai dengan cerita sensei sebelum bergelar "sensei" di SMSLD. (kalau nak bercerita dari sejak lahir, nanti ada pula yang muak membacanya..)
Dunia pendidikan mula sensei terokai pada Julai 1988 apabila melapor diri sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (MPPPP @ M4P)..sekarang sudah jadi IPG. Tempoh kursus selama 2 tahun setengah walaupun pendek, tetapi banyak pendedahan dan pengalaman yang diperolehi. Mungkin kerana usia yang masih muda, sensei memohon agar ditempatkan di Sarawak apabila kursus berakhir. Kononnya ingin berkhidmat di luar bandar dan menghadapi cabaran, tetapi sensei ditempatkan di kampung halaman sendiri di Kuala Lumpur...(kecewapun ada juga, sebab tak dapat nak ke mana-mana lagi). Tetapi rupanya bertugas di tempat sendiri, banyak juga cabaran yang perlu dilalui...(oppss..tak perlu cerita detail, nanti lari dari topik). Ringkasnya, selepas 5 tahun berkhidmat di kampung sendiri, sensei menerima tawaran Hadiah Latihan Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. (Siapa sangka anak kampung yang serba kekurangan ni, dapat juga menjejak negara orang).

April 1995, sensei berlepas ke Jepun dengan seribu satu macam perasaan. Selama 5 tahun di sana akhirnya sampai masa untuk pulang ke tanah air ( sensei tak ceritala kisah kat Jepun...mungkin lain kali). Sebelum pulang, sensei telahpun mengetahui akan ditempatkan ke Lahad Datu. Hati berdebar juga kerana tidak pernah mendengar nama Lahad Datu. Sempatlah cari di internet kalau-kalau ada maklumat tentang LD ni.
Hati tekad...."Lahad Datu, tunggu kedatanganku"
Kembali ke tanah air sempatlah meluangkan masa bersama keluarga dalam 2 minggu sebelum berlepas ke Sabah dan menjejakkan kaki di Lahad Datu pada 14 April 2000.

Tanggal 14 April 2000
Dalam penerbangan terakhir dari KK ke LD menaiki pesawat Fokker hati ini masih ragu-ragu dan bimbang. Bagaimanakah rupanya bandar Lahad Datu ini? Bagaimanakah penerimaan warga di SMSLD? Mampukah aku bertahan dan menyumbang bakti pada bumi di bawah bayu......dan pelbagai yang aku fikirkan. Sedangkan rakan-rakan lain ditempatkan di bandar-bandar besar, mampukah aku menyesuaikan diri di daerah Lahad Datu? Hanya itulah persoalan yang timbul sepanjang penerbangan. Akhirnya pengumuman dibuat bahawa pesawat akan mendarat sebentar lagi. Pantas mata melihat keluar, namum pemandangannya tetap sama, hanya dipenuhi dengan kehijauan..saujana mata memandang. Hatiku sedikit lega apabila mula melihat bangunan-bangunan kecil dan kenderaan yang bergerak di jalanan.
Aku hampir tergamam apabila berada di Lapangan Terbang Lahad Datu. Bangunan papan yang agak usang hingga sukar untukku mempercayainya. Aku menyangkakan ketibaanku akan disambut oleh pihak sekolah (aku dimaklumkan begitu), namun aku tidak melihat sebarang tanda atau sesiapapun yang menanti ketibaanku. (Kemudiannya baru aku diberitahu bahawa memang ada PK yang menunggu aku di airport). Memandangkan hari semakin suram, aku mengambil teksi airport dan terus ke SMSLD.
Setibanya aku di flat guru, aku melihat beberapa orang guru sedang berkumpul dan berbual-bual sesama mereka. Sambil memperkenalkan diri kepada mereka, sempatlah juga mata ini melihat persekitaran flat. Gerunnnn.......
Aku akhirnya ditempatkan di tingkat 4 blok P bersama Cikgu Asrul, Cikgu Mohd Redzuan dan Cikgu Yusra. Syukurlah kerana mereka menerima kehadiranku dengan baik. Cabaran pertama yang pasti tidak akan dapat aku lupakan adalah masalah bekalan air. Dan malam itu, walaupun penat, mataku sukar untuk dilelapkan. Pelbagai andaian dan perkara yang bermain di fikiranku untuk menghadapi hari esok dan seterusnya. Entah bila masanya, akhirnya aku terlena jua dan pasti esok cerita baru akan bermula....

bersambung......

No comments:

Post a Comment