Tuesday, June 29, 2010

Satu Delima 2000

Mmm...sukar juga untukku mengingat semula saat mula mengajar di kelas ini (dah hampir lupa). Melihat wajah murid-murid di kelas ini, aku rasa semangat nak mengajar. Bukan pasal apa, semuanya excited sebab nak mula subjek baru. Bahasa Jepun pulak tu. Tapi sebenarnya bukan mudah nak mengajar bahasa asing ni. Apatah lagi aku cuma mengajar seminggu dua kali sahaja. Sedangkan aku yang tinggal bertahun di Jepunpun masih terkial-kial dengan bahasa Samurai ni. Tak kisahlah..asalkan ada students.



Ok...balik pasal murid-murid 1D ni, akupun dah lupa semua nama-nama mereka (jangan kecil hati ye..). Antaranya yang masih dalam ingatanku ialah Kalbans Singh (tak tahu di mana skg dia), Mohd Nasir (skg di UK), Victor Sintar (lost info), Nazlan Sapri (lost info), Azlan (last jumpa di Melaka-tgh buat medic), Hafiz (lost info), Yusop Katha (di Semenanjung), mmmm..siapa lagi ye? (nanti sesiapa yg tahu ingatkan sensei).  Yang perempuan pula yang masih boleh ingat, Azlina Aminullah (UTP), Suharni Muin (skg di US), Alice Junus (UMS), Zubaidah Hari (New Zealand), Junidah Lamaming (skg kat mana ye?), Amsina Anas (lost info), Jean Jessie James (lost info)...mmm...isshhh...lupalak (susahnya nak recall..dah tua kot)..apapun mereka nilah antara anak-anak muridku yang pertama sejak aku bergelar 'sensei'. ...(yang lain kalau ada baca ruangan ni, hantarlah berita pada sensei okay).


Mengajar murid-murid 1D bukanlah susah sangat. Maklumlah budak-budak SBP. Banyak pengalaman yang kulalui sepanjang mengajar mereka ni. Ada waktu aku perlu berlawak, garang ( teringat lagi beberapa orang murid-murid yang dapat penamparku apatah lagi bila tak siap shukudai (homework) yang kuberikan.????...harap kalian halalkan ye). Maklumlah semangat tinggi nak mengajar, usia pula masih muda, jadi mudahla panas. Murid-murid perempuanpun ada yang dihukum. Nak ketawa ada juga bila mengenangkan bagaimana susahnya mereka nak menyebut perkataan-perkataan Jepun ni, dan dalam garang mengajar ni kekadang aku tak dapat menahan untuk ketawa. Tentu kalian masih ingatkan bila masuk bab perkataan-perkataan dalam bilik darjah. Kalau perkataan-perkataan lain susah sangat nak ingat, tapi bila sebut aje kipas, semua boleh ingat. Lebih-lebih lagi budak-budak lelaki. Sengaja aje sebut kuat-kuat berulang kali. Hehehe..nak buat cam mana, dah memang begitu sebutannya. Akupun macam mereka dulu..hehe.

Walaupun masa mengajar mereka ni tak banyak, tapi aku rasa puas sebab ramai juga yang dapat menguasai kemahiran Bahasa Jepun ni. Tak sia-sia ngajar ala-ala Jepun...(teringatlak kat si Hafiz, kat mana dia ya...kerap sangat kena 'tangan' sensei ni..sampai sekarang sensei boleh gambarkan wajahnya).

Pejam celik,pejam celik dah dekat 10 tahun masa berlalu. Sekarang ni masing-masing berada di merata tempat. Ada yang dah bekerja, ada yang masih belajar (dalam atau luar negara)..mungkin ada yang dah kahwin (tak tahula sensei..kalau ada, tolong update).
Apapun seseungguhnya aku begitu gembira dan bangga mengenali kelas 1D ini. Semoga kalian semua berjaya dan bahagia dengan apa sahaja yang dilakukan walau di mana berada...Aminn...

Oklah..cukup dulu untuk hari ini.

bersambung....

Saturday, June 26, 2010

Hari pertama di SMSLD


Pagi ini aku rasakan cukup dingin. Walaupun mata belum cukup rehat, aku gagahkan juga untuk membukanya. Kalau ikutkan sejuk di luar, mahu juga kusambung tidurku. Tapi malulah, dahlah aku ni 'orang baru', dengan rakan-rakan serumahpun baru berkenal nama. Takkan nak berlengkar terus di atas katil. Akhirnya aku bangun juga dan melihat pemandangan di luar tingkap. Sukar untuk kugambarkan dengan kata-kata. Sesungguhnya keindahan ciptaan Tuhan memang tiada tandingannya. Aku yang datang dari Kuala Lumpur, menghabiskan masa remajaku di bandar-bandar besar sehinggalah di tengah kota metropolitan Tokyo, kini dikelilingi dengan pemandangan alam yang cukup berbeza. Tiada lagi bangunan-bangunan pencakar langit, hanya pepohonan menghijau memagari lingkaran penglihatan. Tiada lagi hiruk pikuk kenderaan di pagi hari, hanya bunyi unggas yang ditemani kabus pagi. Cukup mendamaikan. Suara jeritan pelajar di padang mengejutkan aku dari terus mengelamun.
Hari ini, Sabtu (15 April) aku tidak tahu apa yang harus kulakukan. Belum ada apa-apa perancangan. Mungkin sehari dua ini aku bercadang untuk mengemaskan bilikku, membeli keperluan, mengenali masyarakat di flat dan melihat-lihat kawasan sekolah sebelum mula bertugas secara rasmi pada hari Isnin nanti.

Aku hanya mengenali beberapa orang sahaja guru-guru yang bertugas di sini. Kebanyakannya datang dari semenanjung. Jadi tidaklah aku terasa begitu terasing. Mereka pula mesra dan mudah untukku bergaul. Nama-nama seperti Cikgu Sahnizam, Ustaz Saw, Ustaz Fauzi, Wak, Jemey dan beberapa orang lagi antara mereka yang mula-mula aku kenali. Pelbagai nasihat dan panduan yang aku dengar daripada mereka. Kebanyakannya kaki bola dan asalkan petang memang itulah aktiviti mereka di padang (main bola). Petang itu aku ikut serta bermain. Aku ni bukanlah kaki bola (bolehlah setakat untuk mengeluarkan peluh). Bercerita pasal aktiviti petang ni, aku masih dapat membayangkan keadaan padang sekolah waktu itu. Dari segi keluasan, rasanya boleh dibuat 3-4 padang bola, tetapi hakikatnya hanya keluasan separuh padang sahaja yang boleh digunakan. Maksudku rumputnya pendek dan tanahnya kering. Selebihnya hanya semak samun (lalang gajah kot..hampir setinggi orang) dan berair. Kalau dari flat, perlulah meredah rumput/lalang yang tinggi-tinggi tersebut. Boleh nampak laluan-laluan orang di situ. (Sayang aku tak ada gambarnya).

Bab padang satu hal, lepas bermain petang itu aku rasa cukup dahaga. Balik ke flat aku terus minum air dari paip. Apabila malam menjelang aku mula rasa tak sedap badan. Perutku memulas-mulas kesakitan. Kira-kira jam satu pagi aku dah tak boleh tahan. Bila sampai ke tandas aku dapati air tiada!!! Mahu tidak mahu aku turun ke bawah. Mengetuk tangki-tangki air di bawah. Mujurlah ada tangki yang berisi air. Lepaslah untuk malam itu. (Pada rakan-rakan yang empunya tangki, minta maaflah kerana terpaksa 'cilok' air dari tangki mereka). Kesimpulan yang aku dapat ialah aku tak boleh minum air dari paip begitu sahaja.

Memang benarlah hujan yang turun merupakan satu rahmat kepada penghuni di flat kerana dengan adanya hujan, maka akan penuhlah tangki air masing-masing. Mana yang rajin, akan memenuhkan baldi atau besen masing-masing. Selain hujan, sumber air datangnya dari bekalan air yang dihantar 2-3 kali seminggu oleh Jumadi atau Wak Daud. Kalau mereka lambat hantar air, ramailah yang mengeluh dan adalah yang bising. Cerita air ni ada yang lucu dan tak kurang juga yang sensitif. Ada kes curi air, kes bekalan air ke tangki tak sama rata, sampai ada yang bergaduh bab-bab air ni. Hehehe..tentunya bila rakan-rakan yang melalui "zaman perit" ini tersenyum bila mengenangkannya semula kan?

Oppss..sepatutnya aku cerita kisah hari pertamaku di sekolah. Ni dah meleret ke cerita bab air pulak.(sebab isu air ni memang cukup sensitif). Okla..aku sambung balik cerita hari pertama aku di SMSLD.

Lahad Datu- 17 April 2000 (Isnin), aku memulakan hari pertamaku sebagai guru di SMSLD. Setiap Isnin akan diadakan perhimpunan rasmi di Dewan Seri Bayu, dan pagi itu dengan hati yang berdebar-debar aku turut sama mengikuti perhimpunan tersebut. Sebelum itu aku sempat berjumpa dengan Pengetua (Tuan Bali Haji Yussof) terlebih dahulu. Dalam perhimpunan tersebut, aku diperkenalkan kepada warga SMSLD. Gemuruh juga rasanya bila semua mata melihat kepada aku. Mujurlah pengalaman sebagai guru sebelum ini banyak membantuku. Aku rasa murid-murid begitu teruja (tak taulah kalau aku yang perasan...hehe) apabila diberitahu yang aku akan mengajar mata pelajaran Bahasa Jepun. Tambah pula bila aku memperkenalkan diriku dalam Bahasa Jepun (atas permintaan pengetua).

Perhimpunan pada pagi itu agak mengejutkan aku yang baru ini, apabila melihat (buat pertama kalinya) pengetua mengamuk. Beberapa orang murid dirotan dalam perhimpunan tersebut kerana kes rokok. Kasihanpun ada bila melihat murid-murid yang terlibat dirotan oleh pengetua (mmm...boleh tahan juga ganasnya pengetua aku ni). Dalam keadaan yang panas tu, ada juga lucunya bila ada dikalangan murid-murid tersebut "kedapatan" apabila meletakkan kertas tebal dalam seluar. Yang aku pasti, masing-masing merasa rotan yang dikenakan oleh pengetua. Masih terbayang aku muka masing-masing selepas dirotan.(Tak perlulah untukku sebutkan nama mereka yang terlibat tu..aku yakin mereka pasti ingat peristiwa tersebut).

Selepas perhimpunan, aku dibawa ke pejabat, pejabat guru dan kawasan sekolah. Aku diperkenalkan dengan kakitangan dan guru-guru. Nama-nama seperti Cikgu Shahru (PK), Cikgu Suhaimi (PK HEM), Ustaz Amir Berau, Cikgu Aziz, Cikgu Mukharita, Cikgu Wan Zamri, Cikgu Anuar dan ramai lagi (tak dapat nakku senaraikan satu persatu) antara mereka yang aku temui di hari pertamaku di SMSLD. Aku juga mula mengenali selok-belok bangunan dan kelas-kelas yang terdapat di sekolah ini. Aku dapati bilangan murid di sekolah ini tidak begitu ramai. Anggaranku antara 200-250 orang sahaja. Mulanya aku agak hairan juga kerana padaku bilangan kelas dan kawasan sekolah yang besar mampu menampung bilangan yang lebih besar. Namun persoalan tersebut terjawab juga. Masalah air merupakan punca utama kenapa ramai murid yang keluar dari sekolah. Melihat dugaan murid-murid pada waktu itu cukup menyedarkan aku betapa mahalnya ilmu yang ingin mereka perolehi di SMSLD ini. (Akan kuceritakan juga nanti bagaimana dugaan dan cabaran yang dilalui oleh murid-murid di sini).

Pada minggu pertama dan kedua aku tidak mengajar mana-mana kelas kerana kelas Bahasa Jepun belum diwujudkan. Aku lebih banyak menghabiskan masaku memasuki kelas-kelas yang tiada guru (sebagai guru ganti), mengenali murid-murid di sekolah ini. Aku juga mengajar kelas non-Muslim tingatan dua (betulke ya? yang pasti murid-murid di kelas tersebut antaranya adalah seperti Asha, Veronica dll). Setelah kelas Bahasa Jepun diwujudkan, bermulalah tugasku sebagai guru Bahasa Jepun, bermulalah panggilanku sebagai "sensei" di kelas tingkatan satu (Satu Delima).
Murid-murid 1 Delima? Akan kusambung di lain kali....

Salam

Friday, June 25, 2010

Apa nak ditulis ya?


Salam buat semua...
Sebenarnya senseipun tak tahu apa nak dituliskan dalam blog ini. Ada beberapa sebab kenapa? Pertama, sensei sendiri tak begitu cekap nak buat blog ni. Baru peringkat nak 'berkenalan'. Kalau ikutkan dalam blog ni nak berkongsi cerita, pengalaman suka duka selama berada di SM Sains Lahad Datu, Sabah. Itulah sebabnya blog ni diberi tajuk sedemikian. Kedua, disebabkan tempoh yang lama (hampir 10 tahun) berhijrah dan menetap di LD, tentunya terlalu banyak yang telah dilalui. Jadi di mana nak mula, nak mengingatkan semua perkara agak sukar. Namun yang pasti tentulah apa yang dilalui itu ingin dikongsikan bersama. Harapan sensei tempoh cuti yang masih berbaki 3 bulan ini, dapat memberi ruang untuk sensei bercerita....(harap haraplah)

Ok...

Mungkin ada baiknya sensei mulai dengan cerita sensei sebelum bergelar "sensei" di SMSLD. (kalau nak bercerita dari sejak lahir, nanti ada pula yang muak membacanya..)
Dunia pendidikan mula sensei terokai pada Julai 1988 apabila melapor diri sebagai guru pelatih di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (MPPPP @ M4P)..sekarang sudah jadi IPG. Tempoh kursus selama 2 tahun setengah walaupun pendek, tetapi banyak pendedahan dan pengalaman yang diperolehi. Mungkin kerana usia yang masih muda, sensei memohon agar ditempatkan di Sarawak apabila kursus berakhir. Kononnya ingin berkhidmat di luar bandar dan menghadapi cabaran, tetapi sensei ditempatkan di kampung halaman sendiri di Kuala Lumpur...(kecewapun ada juga, sebab tak dapat nak ke mana-mana lagi). Tetapi rupanya bertugas di tempat sendiri, banyak juga cabaran yang perlu dilalui...(oppss..tak perlu cerita detail, nanti lari dari topik). Ringkasnya, selepas 5 tahun berkhidmat di kampung sendiri, sensei menerima tawaran Hadiah Latihan Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. (Siapa sangka anak kampung yang serba kekurangan ni, dapat juga menjejak negara orang).

April 1995, sensei berlepas ke Jepun dengan seribu satu macam perasaan. Selama 5 tahun di sana akhirnya sampai masa untuk pulang ke tanah air ( sensei tak ceritala kisah kat Jepun...mungkin lain kali). Sebelum pulang, sensei telahpun mengetahui akan ditempatkan ke Lahad Datu. Hati berdebar juga kerana tidak pernah mendengar nama Lahad Datu. Sempatlah cari di internet kalau-kalau ada maklumat tentang LD ni.
Hati tekad...."Lahad Datu, tunggu kedatanganku"
Kembali ke tanah air sempatlah meluangkan masa bersama keluarga dalam 2 minggu sebelum berlepas ke Sabah dan menjejakkan kaki di Lahad Datu pada 14 April 2000.

Tanggal 14 April 2000
Dalam penerbangan terakhir dari KK ke LD menaiki pesawat Fokker hati ini masih ragu-ragu dan bimbang. Bagaimanakah rupanya bandar Lahad Datu ini? Bagaimanakah penerimaan warga di SMSLD? Mampukah aku bertahan dan menyumbang bakti pada bumi di bawah bayu......dan pelbagai yang aku fikirkan. Sedangkan rakan-rakan lain ditempatkan di bandar-bandar besar, mampukah aku menyesuaikan diri di daerah Lahad Datu? Hanya itulah persoalan yang timbul sepanjang penerbangan. Akhirnya pengumuman dibuat bahawa pesawat akan mendarat sebentar lagi. Pantas mata melihat keluar, namum pemandangannya tetap sama, hanya dipenuhi dengan kehijauan..saujana mata memandang. Hatiku sedikit lega apabila mula melihat bangunan-bangunan kecil dan kenderaan yang bergerak di jalanan.
Aku hampir tergamam apabila berada di Lapangan Terbang Lahad Datu. Bangunan papan yang agak usang hingga sukar untukku mempercayainya. Aku menyangkakan ketibaanku akan disambut oleh pihak sekolah (aku dimaklumkan begitu), namun aku tidak melihat sebarang tanda atau sesiapapun yang menanti ketibaanku. (Kemudiannya baru aku diberitahu bahawa memang ada PK yang menunggu aku di airport). Memandangkan hari semakin suram, aku mengambil teksi airport dan terus ke SMSLD.
Setibanya aku di flat guru, aku melihat beberapa orang guru sedang berkumpul dan berbual-bual sesama mereka. Sambil memperkenalkan diri kepada mereka, sempatlah juga mata ini melihat persekitaran flat. Gerunnnn.......
Aku akhirnya ditempatkan di tingkat 4 blok P bersama Cikgu Asrul, Cikgu Mohd Redzuan dan Cikgu Yusra. Syukurlah kerana mereka menerima kehadiranku dengan baik. Cabaran pertama yang pasti tidak akan dapat aku lupakan adalah masalah bekalan air. Dan malam itu, walaupun penat, mataku sukar untuk dilelapkan. Pelbagai andaian dan perkara yang bermain di fikiranku untuk menghadapi hari esok dan seterusnya. Entah bila masanya, akhirnya aku terlena jua dan pasti esok cerita baru akan bermula....

bersambung......