Sunday, July 18, 2010

Air....air....air....sambungan



Salam sejahtera semua,

Dah lama sensei tak update blog ni. Sejak kelahiran putera-putera sensei (Fareeq Danish dan Fareed Danish) pada 9 Julai lalu, tidak ada ruang untuk sensei membuka laman ini. Memang sibuk dan penat tapi alhamdulillah, rasa seronok bila setiap hari melihat wajah si kecil. Tetamu pula setiap hujung minggu ada sahaja yang datang melawat. Maklumlah hidup di perantauan ni, bukannya ramai sangat rakan senegara.

Berbalik pada kisah air di asrama ini aku masih ingat lagi satu ketika aku turut sama mandi bersama murid-murid di tangki biru belakang asrama. Tentu ramai masih ingat tangki-tangki biru yang menampung air hujan yang terdapat di asrama tu kan? Bukan sahaja air hujan, malah dipenuhi dengan sampah-sampah daun pokok yang tebal dalam tangki tersebut. Yang menariknya bukannya apa, bayangkanlah untuk mengambil air dari tangki tersebut, perlu memanjatnya terlebih dahulu. Bukan tiada kepada paip pada tangki-tangki tersebut, tetapi sampah-sampah daun yang tebal menyebabkannya tersumbat. Pendek cerita, tak berfungsilah. Ada yang memanjat tangki tersebut dari bawah, dan ada juga yang ikut tingkap dorm untuk ke koridor sebelah tangki (itu salah satu sebab kenapa tingkap dorm tak pernah cukup). Sudahlah begitu, bila dapat ambil air tangki tersebut murid-murid akan mandi terus di atas tangki. Jadi air mandian akan masuk semula ke dalam tangki! Nak jimat punya pasal, jadi 'air kitar semulala'. Fenomena begini bukanlah satu yang pelik bagi warga SMSLD waktu itu, dan aku juga salah seorang yang turut mandi dengan 'air kitar semula' tersebut dengan murid-muridku. Apa nak buat, dah darurat...hehe.

Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, hujan merupakan rahmat bagi warga sekolah. Waktu ini masing-masing mengambil peluang menampung air untuk kegunaan sendiri. Aku juga tidak terlepas. Ada satu hari tu hujan turun agak lebat, jadi seperti biasa akupun meletakkan baldi untuk menampung air di depan bilikku (bilik warden blok I). Rasa lega sikit sebab bekalan air di bilikku dah habis. Kalau tak hujan, cadangnya esoknya aku nak menumpang mandi di rumah rakan-rakanku di flat. Esok paginya aku hanya terkebil-kebil sahaja bila mendapati air hujan yang kutampung dah kena kebas dengan baldi-baldinya sekali. Tak ada orang lainlah ni, kalau bukan student. Aku nak marahpun tak tahu pada siapa, akhirnya aku ke flat juga menumpang mandi.

Betapa mahalnya harga air di Lahad Datu...hehe

Monday, July 5, 2010

Air....air......air...

Salam sejahtera buat semua...

Dah lebih 4 hari sensei tak update blog ni. Bukan tak buka langsung,ada juga buat satu page untuk video graduasi 2008 untuk dikongsikan bersama. Malangnya dah beberapa kali mencuba, tak dapat juga nak upload ke dalam blog ni (maklumlah masih tak cekap lagi). Nak upload ke youtube tak boleh kerana saiznya besar, dan tempoh panjang (lebih 10 minit). Dah hampir give up nak buat.Mmmm..takpelah. Nanti lain kali kalau dah boleh, sensei upload kan..


Ok, kalau sebut pasal air ni, tentu dikalangan rakan-rakan atau murid-muridku yang masih ingat bagaimana siksanya hidup di SMSLD kan? Kalau Pak Jumadi atau Pak Daud, lewat menghantar bekalan air ke flat atau ke asrama, alamat tak mandilah masing-masing. Kalau dilihat di mana-mana tandas di sekolah, mahupun di asrama memang cukup menakutkan. Dengan baunya yang busuk, Tuhan aje yang tahu. Apatah lagi kalau musim kemarau. Murid-murid ke hulu ke hilir membawa baldi masing-masing mencari air.

Budak-budak tak mandi pagi? Mmmm..itu perkara biasa setiap hari. Bila masuk ke kelas masing-masing kelesuan. Bau badan masing-masing macam-macam ada (macam iklan astro). Tengit, hanyir dan macam-macam lagi. Kalau yang tak kuat berpeluh atau berbadan kecil tu boleh tahanlah lagi, tapi kalau kuat berpeluh dengan badan yang 'besar'(ganti perkataan gemuk), tak mandi seharian...alahai...susah nak cakap. Ala la la latuk la..Kena tahan hidung bila berdekatan dengan murid-murid..hehe. Selepas waktu rehat, mata masing-masing naik kuyu. Tak hairanlah bila waktu prep petang lebih ramai yang tidur daripada mengulangkaji. Memang mencabar betul untuk memastikan murid-murid tak mengantuk waktu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Namun, itulah hakikatnya bila berada di SMSLD saat itu. Sesungguhnya aku amat terharu dan bangga melihat ketabahan murid-muridku melalui cabaran tersebut dalam menggapai cita-cita mereka.


Kalau dulu, mereka penuh dengan kelesuan dan dihiasi dengan bauan yang macam-macam ada tu, kini aku gembira bila mendengar masing-masing telahpun mempunyai kerjaya masing-masing, berada di menara gading (dalam dan luar negara).Aku masih ingat lagi bagaimana satu ketika sekolah kecoh apabila isu air ini dibangkitkan dalam akhbar tempatan. Tentulah pihak pentadbiran sekolah pening kepala nak menghadapi soalan-soalan pihak luar mahupun ibubapa. Dalam hal ini aku tidak menyalahkan sesiapa. Ibubapa manalah yang tidak bimbang bila anak-anak mereka hidup dalam serba kekurangan (terutamannya bekalan air), sedangkan di rumah mereka hidup dengan selesa. Aku yang dah dewasa inipun kadangkala tidak tahan dengan isu air ini. Mana yang tidak tahan dengan keadaan tersebut, akhirnya keluar dari sekolah.Pada masa yang sama, pihak sekolah sendiripun bukannya tidak berusaha. Sebabnya yang tidak dapat bekalan air bukan sahaja murid-murid, malah guru-guru dan kakitangan sekolah juga terlibat sama. Tetapi apakan daya bila pihak tertentu sendiri menyatakan tiada bekalan dan sebagainya. Kadang-kadang aku sendiri kasihan dengan pengetuaku (masa itu Tuan Bali). Entah berapa kali memohon peruntukan daripada pihak tertentu dan aku yakin setiapkali mesyuarat pengetua SBP, isu utama yang diutarakannya adalah isu air. Malah boleh dikatakan semua pengetua tahu masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah.

Walaupun masalah air ada ketikanya begitu meruncing di sekolah, aktiviti-aktiviti sekolah tetap dijalankan seperti biasa. Itu yang menyeronokkan aku. Murid-murid masih mampu melemparkan senyuman dan ketawa sesama sendiri. Padang bola tetap dipenuhi oleh murid-murid dan guru-guru walaupun saiznya tidak sebesar mana.Bau badan tidak menjadi hal di kalangan mereka. Belajar tetap belajar, kerana masa tetap berdetik tanpa menghiraukan apa yang berlaku. Yang paling seronoknya bila hari hujan. Waktu itu masing-masing sibuk menampung air air hujan. Dari besen besar hinggalah ke botol mineral, semuanya dijadikan bekas untuk menyimpan air. Waktu itu,(terutamanya budak lelaki)ramai yang tersenyum gembira sebab boleh mandi dengan sepuasnya. Ramai juga menggunakan peluang ini 'termenung' di tandas dengan selesanya. Kadangkala aku memikirkan juga betapa beruntungnya murid-murid di SBP yang lain jika dibandingkan dengan murid-muridku di SMSLD. Namun aku yakin semua itu ada hikmah disebaliknya.

bersambung............